Kisah Seorang Guru

Selamat Hari guru ...

“Ibu... sempena Hari Guru ini Salina teringin benar membeli kerongsang untuk Ustazah Hanizah. Ustazah Hanizah seorang guru yang baik bagi Salina... Salina sayang dengan Ustazah Hanizah. Sebab itulah Salina ingin menghadiahkan Ustazah Hanizah kerongsang ini sebagai tanda terima kasih Salina padanya. Boleh tak bu?” rengek Salina kepada ibunya.

Hati ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat anak kesayangan merengek-rengek manja sebegitu. Bukan sekali, tetapi sudah berkali-kali. Hati Puan Arliza akur juga dengan rengekkan anaknya itu lalu memberikan kebenaran. Melihatkan Nur Salina, anak kesayangannya gembira, sudah cukup melegakan hatinya.

Namun...

(Kenyataan di dalam sebuah akhbar tempatan...)
... Keriangan seorang murid untuk menghadiahkan kerongsang kepada ustazahnya sempena Hari Guru hari ini berakhir dengan tragedi apabila dia mati digilis treler di Lebuh Raya Shapadu, Kampung Rantau Panjang, tengah hari ini.
Kemalangan menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 1.15 tengah hari ketika Nur Salina Saparedi, 7, hendak melintas jalan bersama kerongsang yang disimpan dalam kocek baju dan dibeli khas buat Ustazah Hanizah.

Lebih memilukan lagi apabila kejadian itu berlaku di depan mata ibunya sendiri, Arliza Mohd. Sani, 37, yang mahu menghantarnya hingga ke seberang jalan tetapi mangsa sendiri beria-ia melintas jalan bersama rakan-rakan lain...

Kisah menyayat hati ini sememangnya membuktikan bahawasanya nilai budi seorang guru terhadap muridnya dibawa hingga ke akhir hayat. Bak pantun Melayu: “Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.”

Apa yang penulis ingin tonjolkan di sini adalah betapa ´akrabnya´ hubungan antara pendidik dan anak didiknya oleh kerana ikatan dan jalinan mesra di sepanjang proses pembelajaran berlangsung.

Seorang guru bukan saja berperanan sebagai pendidik di dalam kelas, tetapi juga pembentuk sahsiah dan peribadi mulia pelajar. Mereka tidak ubah seperti seorang ibu dan bapa kepada anak didik mereka kerana sepanjang masa berada di sekolah, murid-murid sangat bergantung kepada perhatian seorang manusia bernama guru yang sentiasa berada disebelahnya memberikan panduan dan tunjuk ajar.

Bak kata si bijak pandai, jasa guru umpama air mengalir dari anak sungai hingga ke dasar lautan.

Guru merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, alim atau ulama. Mereka berfungsi bukan saja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah masyarakat jagat. Perpaduan kaum juga dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai–nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Mujaadilah: 11)

<3